Konsul
Menggalakkan, mengangkat, dan menguatkan satu sama lain. Kesan tenaga positif yang disebarkan kepada seseorang akan dirasai oleh kita semua.
Untuk individu Konsul (ESFJ), hidup adalah paling manis apabila dikongsi bersama orang lain. Orang dengan jenis personaliti ini membentuk asas bagi banyak komuniti, membuka rumah mereka - dan hati mereka - kepada rakan, orang yang disayangi, dan tetangga.
Ini tidak bermakna Konsul suka pada semua orang, atau mereka ini keramat hidup. Namun, Konsul yakin akan kekuatan layanan dan budi bahasa yang baik, dan mereka biasanya merasa bertanggungjawab kepada orang-orang yang berada di sekeliling mereka. Dengan sifat murah hati dan boleh dipercayai, individu dengan jenis personaliti ini seringkali mengambil inisiatif - dalam skala besar dan kecil - untuk memastikan keluarga dan komuniti mereka tetap bersatu.
Keindahan Hidup Bertanggungjawab
Konsul adalah individu yang berjiwa kemanusiaan (altruis). Mereka mengambil serius tanggung jawab mereka untuk memberi balik, melayani orang lain, dan melakukan perkara yang betul.
Selain itu Konsul percaya bahawa ada perkara yang jelas betul untuk dilakukan dalam hampir setiap situasi. Walaupun sesetengah jenis personaliti mengambil sikap berlembut, hidup dan membiarkan hidup, Konsul mungkin mendapati sukar untuk tidak menghakimi apabila seseorang mengambil jalan yang mereka anggap sebagai salah langkah. Akibatnya, Konsul sering menghadapi kesukaran untuk menerima apabila seseorang - terutamanya seseorang yang mereka sayangi - tidak bersetuju dengan mereka.
Dengan pandangan yang pasti tentang betul dan salah, Konsul cenderung mempunyai pendapat yang kukuh. Tetapi pendapat-pendapat ini bukan sewenang-wenangnya - sering kali mereka berdasarkan pada penghargaan mendalam terhadap tradisi. Konsul tahu bahawa setiap perkara yang mereka lakukan mempengaruhi seseorang yang lain, dan mereka percaya bahawa undang-undang, protokol, dan norma-norma sosial yang telah ditetapkan akan membantu mereka mengemudi kehidupan harian mereka dengan cara yang bertimbang rasa dan bertanggungjawab terhadap orang lain.
Membina Hubungan yang Berkekalan
Pemberi galakkan dan mudah bergaul, Konsul selalu mudah dikenal pasti di dalam sesuatu majlis - mereka adalah orang yang bergerak ke sana sini untuk memastikan semua orang menikmati masa mereka! Namun, jangan tersilap: Konsul tidak sekadar lalu dalam kehidupan orang lain. Mereka sangat setia, membina hubungan yang berpanjangan, dan mereka sentiasa ada jika diperlukan - sama ada untuk memberi bantuan atau mendengar masalah.
Dengan kecintaan terhadap ketertiban dan struktur, Konsul lebih suka acara yang dirancang daripada aktiviti terbuka atau perjumpaan spontan – dan mereka gembira untuk menjadi hos bagi memastikan semuanya berjalan lancar. Orang dengan jenis personaliti ini meluangkan banyak tenaga untuk membuat orang lain merasa dihargai dan diraikan. Jika usaha mereka nampak seperti tidak dihargai, mereka mungkin akan merasa tersinggung.
Bagi kebanyakan individu yang memiliki personaliti Konsul, salah satu cabaran terbesar dalam hidup adalah menerima hakikat bahawa mereka tidak mampu mengawal pemikiran atau perilaku orang lain - termasuk yang paling rapat dan disayangi oleh mereka. Mujurlah, Konsul boleh mencari ketenangan dan kepuasan dengan memberi tumpuan kepada apa yang mereka lakukan dengan baik: menunjukkan contoh kepedulian, pertimbangan, dan tanggungjawab - dan menyatukan orang dalam proses tersebut.